Oleh : Nurdiyanah Rajami / Foto : Ihsan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 13 Jun. - Empat orang pelajar Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) terpilih menerima tajaan kewangan daripada Mitsubishi Corporation Brunei dengan majlis penyerahan tajaan kewangan berkenaan berlangsung di Dewan Ta'lim, KUPU SB petang tadi.
Pelajar-pelajar KUPU SB yang terpilih ialah Awang Abdul Hafiz bin Abdul Halim; Awang Muhammad Nur Hadi bin Mohd. Ariffin; Awang Mohamed Khairie bin Mohamed Shalahudeen; dan Dayang Nur Qayyimah binti Asman.
Sehubungan itu, hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan majlis penyerahan tajaan kewangan berkenaan ialah Ra'es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani.
Dalam pada itu, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir semasa menyampaikan ucapan di majlis berkenaan antaranya menyatakan tajaan ini lebih daripada sekadar bantuan kewangan bahkan ia adalah sesuatu pelaburan yang berharga dalam pembangunan modal insan dan cerminan rasa tanggungjawab sosial Mitsubishi Corporation Brunei yang teguh.
Tambahnya, melalui bantuan kewangan Mitsubishi Corporation Brunei ini menunjukkan keprihatinan syarikat terhadap kesejahteraan pendidikan pelajar KUPU SB yang memerlukan bantuan kewangan, membolehkan mereka memberi tumpuan kepada pengajian dan mengejar matlamat akademik mereka dengan lebih yakin dan fikiran yang tenang.
“Sebagai sebuah institusi yang berdedikasi untuk membangunkan pendidik, cendekiawan, dan pemimpin yang berteraskan nilai-nilai Islam dan kecemerlangan profesional, KUPU SB sangat percaya bahawa akses kepada pendidikan tidak boleh dihalang oleh kekangan kewangan. Sumbangan kewangan ini sememangnya memberi galakan, motivasi, dan peluang untuk pelajar yang layak untuk meneruskan perjalanan akademik dengan penuh keyakinan dan keazaman.
“Kepada pelajar-pelajar yang telah terpilih untuk menerima kewangan bantuan ini dari Mitsubishi Corporation Brunei, saya ucapkan tahniah. Saya menggalakkan awda menggunakan peluang ini sebaik mungkin dengan berusaha untuk meraih kecemerlangan akademik, memupuk sahsiah yang baik, dan menyumbang positif kepada masyarakat. Semoga bantuan ini memberi inspirasi kepada awda untuk bekerja lebih keras dan menjadi individu yang akan berkhidmat untuk negara dan ummah dengan ilmu pengetahuan, integriti, dan dedikasi," ujar beliau lagi.
Terdahulu, Timbalan Dekan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar KUPU SB, Dayang Nurul Azimah binti Haji Abdul Hamid yang juga selaku pengerusi majlis dalam ucapan alu-aluannya antaranya mengongsikan Majlis Penyerahan Tajaan Kewangan Mitsubishi Corporation Brunei ini sememangnya bagi menyokong golongan pelajar KUPU SB yang kurang berkemampuan.
Jelasnya lagi, bagi memastikan bantuan kewangan ini diberikan kepada pelajar yang layak, proses pemilihan yang teliti telah dijalankan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Kebajikan Pelajar (Student Development and Welfare Committee - JPKP) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar.
“Penilaian tersebut mengambil kira latar belakang sosioekonomi pelajar, prestasi akademik, perwatakan peribadi, komitmen terhadap pelajaran, penglibatan dalam pembangunan diri dan aktiviti khidmat masyarakat serta cadangan daripada pihak fakulti dan pegawai-pegawai berkaitan.
“Lawatan ke rumah juga dilakukan untuk lebih memahami keadaan yang dihadapi oleh pelajar dan keluarga mereka. Berikutan penilaian menyeluruh ini, empat orang pelajar telah dipilih sebagai penerima bantuan kewangan ini," tambah beliau.
Adapun penyerahan tajaan kewangan ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat pihak Mitsubishi Corporation Brunei dalam menyokong kebajikan dan pembangunan pendidikan pelajar di Negara Brunei Darussalam.
Majlis yang diadakan ini juga merupakan wadah dalam menghargai sumbangan dan komitmen Mitsubishi Corporation Brunei dalam menyokong kebajikan serta pembangunan pendidikan pelajar sekali gus memperkukuhkan hubungan kerjasama dan jaringan strategik antara KUPU SB dan Mitsubishi Corporation Brunei.
Turut hadir bagi sama-sama menyaksikan majlis berkenaan ialah Timbalan Pengurus Am, Mitsubishi Corporation Brunei, Ms. Hanako Katagiri; pegawai-pegawai eksekutif; pegawai-pegawai utama; tenaga akademik; pegawai; kakitangan dan para pelajar KUPU SB.